LAPORAN HELICOPTER SMART CONTROL WORKSHOP & COMPETITION 2015

Sepasukan lima pelajar Jabatan Penyenggaraan Pesawat (JPP) muncul sebagai juara dalam satu pertandingan khas teknologi tinggi membabitkan helikopter kawalan jauh menggunakan perisian komputer yang mereka cipta dan berjaya memenangi wang tunai RM300 apabila mengatasi sembilan pasukan lain dari tiga institusi yang menyertai kejohanan kali pertama itu.

Naib johan jatuh kepada wakil dari UNIKL MIAT menerima RM200 manakala tempat ketiga jatuh kepada Politeknik Banting Selangor (PBS) dengan hadiah RM100. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Banting Selangor, Dr. Hjh Norhayati Binti Zakaria termasuk sijil penyertaan dan wang tunai kepada pemenang dalam satu upacara khas.

Bengkel dan pertandingan itu yang dilangsungkan pada 7 dan 8 November 2015 di PBS dianjurkan oleh Jabatan Penyenggaraan Pesawat dengan kerjasama Pusat Sains Angkasa (ANGKASA), Insititut Perubahan Iklim, UKM. 

Pertandingan itu mensasarkan penyertaan peserta-peserta dari kalangan pelajar Jabatan Penyenggaraan Pesawat beserta peserta jemputan dari UniKL MIAT dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ia bermatlamat membangunkan kemahiran kerja berpasukan dan membina perkakasan dan perisian dalam kumpulan. Ia juga diharap dapat menggalakkan kemahiran menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan matematik, sains dan kejuruteraan. Pada masa yang sama pelajar-pelajar dapat memahami proses penuh pembinaan dan pengaturcaraan sistem mikroelektronik.