MAJLIS PENYERAHAN TENAGA KERJA KEPADA INDUSTRI DAN PEMETERAIAN NOTA KERJASAMA 3 NOVEMBER 2015 KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI

Semasa penganjuran Career Day pada 8 September 2015, seramai 15 pelajar PBS Semester Akhir (14 pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan 1 pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat) telah ditawarkan jawatan sebagai juruteknik oleh syarikat Antah Schindler Sdn. Bhd. Perkara ini sangat membanggakan kerana para pelajar ini masih belum bergraduat lagi. Ini membuktikan bahawa pelajar-pelajar daripada sistem Politeknik secara amnya dan PBS, khususnya, sememangnya berkualiti serta berdaya saing.

Maka, satu kerjasama strategik dalam bidang pendidikan teknik vokasional dan latihan (TVET) yang bertujuan meningkatkan bukan sahaja kebolehpasaran para graduan malah juga meningkatkan kebolehdapatan kerja para graduan politeknik ini telah diwujudkan antara PBS dan Antah Schindler Sdn. Bhd. Melalui jalinan hubungan ini juga, satu Nota Kerjasama telah dapat direalisasikan.

Yang memberi impak serta kesignifikan tinggi kepada pemeteraian ini adalah kerjasama strategik ini akan menjamin employabiliti para pelajar PBS dengan Antah Schindler Sdn. Bhd. secara berterusan dengan kadar sekurang-kurangnya 20 orang setiap tahun sebagai juruteknik.

           Majlis yang menyaksikan dua (2) acara utama, iaitu Majlis Penyerahan Tenaga Kerja Kepada Antah Schindler Sdn. Bhd. dan juga Pemeteraian Nota Kerjasama telah berjaya diadakan pada 3hb November 2015 bertempat di Kementerian Pendidikan Tinggi. Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha KPT dan diiringi oleh YBhg. Lt. Kol. (K) Datuk Hj. Mohlis bin Jaafar, Ketua Pengarah JPP.