Laporan Lawatan Ke NSK Micro Precision

Lawatan ini dikelolakan oleh unit CISEC dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) dan Jabatan Penyenggaraan Pesawat (JPP). Ianya merupakan langkah pendedahan awal kepada para pelajar untuk mencari penempatan bagi latihan industri mereka seterusnya membuka peluang pekerjaan kelak setelah tamat pengajian mereka di Politeknik Banting.

            Pelajar yang terlibat merupakan mereka dari kalangan Semester 3 JKM dan Semester 5 JPP. Pelajar-pelajar ini mengakui bahawa hasil dari lawatan industri ini telah banyak memberi impak dan membuka minda mereka mencari kerja kelak setelah tamat pengajian mereka di PBS. Syarikat yang diterajui oleh Pengarahnya yang berbangsa Jepun iaitu Mr. Shigeru Sagae dan merupakan salah seorang ahli Lembaga Penasihat Politeknik Banting telah mengalukan kedatangan rombongan pihak Politeknik dengan mengerahkan kesemua Eksekutif syarikat untuk turun padang menyambut ketibaan Politeknik.

Disiplin dan sistem bekerja yang teratur dan dedikasi terhadap tugas merupakan moto syarikat di mana dapat dilihat oleh para pelajar dan diambil iktibar. Seramai 12 pensyarah pengiring juga telah mendapat manfaat yang dapat dipraktikkan apabila pulang ke Politeknik. Keseluruhannya, lawatan ke NSK Micro Precision adalah sangat berbaloi dan Tn Pengarah berpuas hati dengan pengalaman yang telah ditimba oleh para pelajar PBS.