Mesyuarat Bersama Lufthansa Technical Training Philippines

Politeknik Banting Selangor (PBS), buat pertama kalinya, telah mengadakan satu sesi perbincangan bersama pihak Lufthansa Technical Training Philippines (LTTP) pada 25 Julai 2013 bertempat di Hotel Pacific Regency, Kuala Lumpur.

Tujuan diadakan perbincangan ini adalah untuk meneroka kemungkinan diwujudkan kerjasama strategik antara PBS dengan LTTP, khususnya dari segi meningkatkan kebolehpasaran kerja para pelajar Diploma Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat.

Pasukan PBS diketuai oleh Tn. Hj. Zulkifli bin Md. Salleh dan pasukan LTTP dianggotai oleh En. Jochen Harms, Pengurus Besar LTTP; dan En. Joerg Fritschen, Pengurus Projek LTTP.

Latar Belakang LTTP

LTTP merupakan salah sebuah pusat latihan penyelenggaraan yang bertempat di Manila, Philippines. Pusat ini telah mendapat pengesahan dan kelulusan European Aviation Safety Agency (EASA) Part - 147 sebagai sebuah Organisasi Latihan Penyelenggaraan (Maintenance Training Organisation).

Lufthansa Technical Training (LTT) merupakan anak syarikat 100 peratus hakmilik Lufthansa Technik Corporation yang telah berjaya mengendalikan lebih daripada 1,200 kursus dengan lebih 300 pengajar dan jurulatih sepenuh masa dan separuh masa secara global.

Kekuatan dan bidang nic LTT terletak pada kepakaran serta pengalaman mereka sebagai pembekal perkhidmatan kepada Lufthansa Technik Group, syarikat-syarikat penerbangan, organisasi penyelenggaraan, pengilang, pihak berkuasa awam dan syarikat-syarikat lain yang berkaitan dalam sektor teknologi penerbangan.

Konsep Kerjasama Strategik Antara PBS Dengan LTTP

Antara perkara utama yang diterokai semasa perbincangan antara PBS dengan LTTP adalah berkaitan meningkatkan kebolehpasaran pelajar, khususnya pelajar-pelajar Diploma Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat, Politeknik Banting Selangor.